Monday, January 9, 2012

Agenda tersembunyi NGO Barat guna orang utan raih publisiti



Berita Harian Online - PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) negara barat menggunakan rangkaian Zoo Victoria di Australia untuk melancarkan kempen anti minyak sawit dengan melemparkan tuduhan mengaitkan pengeluaran minyak sawit dengan kemusnahan hutan dan kepupusan habitat orang utan.

Tidak dinafikan bahawa publisiti meluas diperlukan di dalam kempen sebegini dan tandatangan orang ramai yang prihatin dan bersimpati diperoleh dengan cara yang amat berhati-hati untuk menunjukkan sokongan terhadap kempen ini.

Cara sebegini adalah platform bijak untuk NGO memperoleh profil publisiti diperlukan. Kemudian mereka akan membentangkan rang undang-undang baru di Parlimen Kesatuan Eropah dan Parlimen Australia
menggesa minyak sawit dilabelkan secara mandatori dan bukannya dikategorikan sebagai minyak sayur-sayuran yang kebiasaannya digunakan untuk pelabelan semua jenis minyak sayuran yang terdapat di dalam produk makanan.

Di dalam versi asal rang undang-undang pelabelan minyak sawit yang dibentangkan di dewan Senat Australia, minyak sawit mampan juga perlu dilabelkan secara berasingan apabila minyak sawit yang diiktiraf RSPO digunakan di dalam produk makanan yang dijual di Australia.

Walaupun ini bertujuan mempertahankan ‘hak pengguna untuk tahu supaya mereka boleh membuat pilihan tepat’, niat terselindung adalah untuk menggalakkan penggunaan minyak sawit mampan RSPO manakala minyak sawit lain akan dipandang negatif melalui kempen antiminyak sawit dicanang NGO barat.

WWF yang merupakan pendukung utama kempen ini adalah satu-satunya ahli RSPO yang menyokong rang undang-undang ini ketika perbahasan mengenainya dilakukan Jawatankuasa Senat Australia.

Pada hakikatnya, penubuhan RSPO adalah strategi WWF. Dengan menyokong rang undang-undang ini, cita-cita WWF untuk mengawal rantaian bekalan minyak sawit akan tercapai melalui penggunaan mandatori minyak sawit RSPO sama ada di Australia atau di negara Kesatuan Eropah.

Usaha yang diselaraskan NGO ini menyebabkan satu rang undang-undang hampir sama diperkenalkan di Australia dan Kesatuan Eropah.

Konflik kepentingan akan jelas kelihatan apabila kajian mengenai kempen WWF di Australia diambil. WWF sedar bahawa Parlimen Kesatuan Eropah dan Australia akan menolak sebarangan sokongan (endorsement) yang khusus kepada minyak sawit RSPO mereka.

Walaupun ini terjadi, WWF masih mendapat manfaat daripada publisiti yang kian meningkat kerana isu ini mendorong orang ramai menderma dana untuk menyelamatkan orang utan melalui kempen pengiklanan mereka di televisyen Australia.

Berdasarkan kekerapan penampilan iklan ini di televisyen, adalah tidak mustahil untuk mempercayai bahawa WWF berjaya memperoleh sumbangan dana lumayan untuk menanggung kos pengiklanan itu.

Pada perbahasan terbaru dilakukan Jawatankuasa Ekonomi Dewan Rakyat Australia, saya amat kecewa melihat pihak pihak yang diheret ke dalam proses perundangan sawit ini semata-mata untuk menentang rang undang-undang lucu ini yang hanya bertujuan mengumpul dana kepada WWF.

Ketika perbahasan ini berlangsung, hadirin dimaklumkan bahawa objektif rang undang-undang pelabelan minyak sawit ini tidak lagi relevan atau berkaitan dengan isu keselamatan makanan kecuali untuk ‘memberi pengguna hak untuk mengetahui’.

Apa yang akan berlaku sekiranya di masa hadapan pengguna atas alasan ingin tahu, menuntut pula supaya minyak kelapa dilabelkan di dalam semua produk yang dijual di Australia?

Adakah rang undang-undang pelabelan baru akan diwujudkan? Kita memang tertanya-tanya adakah NGO seperti WWF benar-benar memperjuangkan isu pengguna atau lebih fokus untuk mengaut keuntungan dari sumbangan orang ramai yang mudah melalui pengiklanan atas publisiti yang dicipta menggunakan ikon orang utan.

Apa pula akan terjadi sekiranya rang undang-undang ini apabila diluluskan kelak menjadi satu bentuk halangan perdagangan dan menggugat pendapatan pekebun kecil yang bergantung kepada penanaman kelapa sawit untuk hidup di Malaysia?

Saya tidak membantah sekiranya wang dari saku penduduk kaya di Australia disalurkan kepada dana WWF untuk tujuan yang mulia.

Tetapi soalan yang kita perlu tanya sebagai penderma ialah, “Adakah dana dikumpulkan WWF Australia digunakan untuk memulihara habitat orang utan di Sabah atau Sarawak di mana orang utan boleh didapati di Malaysia?

Oleh kerana hampir 100 peratus import minyak sawit Australia datang dari Malaysia, adakah salah sekiranya wang yang dikutip untuk tujuan pemuliharaan orang utan disalurkan kepada badan berkaitan di Malaysia?

Industri minyak sawit Malaysia menunjukkan komitmen tinggi dengan menawarkan dana sepadan kepada mana-mana dana disumbangkan bertujuan untuk membiayai projek pemuliharaan orang utan di bawah skim Tabung Pemuliharaan Hidupan Liar Minyak Sawit Malaysia (MPOWCF).

Di bawah skim ini, penaja aktif projek pemuliharaan orang utan di Sabah dan Sarawak juga disenaraikan dan diperakui. Ini menunjukkan ketelusan di dalam kerja dijalankan untuk tujuan baik.

Ahli-ahli Jawatankuasa Parlimen Australia meluangkan banyak masa dan usaha memahami tujuan sebenar rang undang-undang ini diperkenalkan yang berniat semata-mata membolehkan NGO mengumpul dana dengan berselindung di sebalik tema ‘pemuliharaan’.

Pegawai kerajaan dari pelbagai Kementerian dan industri makanan di Australia yang tahu mengenai komplikasi yang akan timbul melalui rang undang-undang ini tidak menunjukkan sebarang sokongan kepada rang undang-undang ini.

Malah jika diluluskan, rang undang-undang ini hanya baik untuk ‘rak internet’ kerana rang undang-undang sama diperkenalkan pada 2008 ditolak oleh pihak berkuasa yang terbabit dalam penggubalan piawaian makanan di Australia.

Parlimen Australia perlu dimaklumkan bahawa satu rang undang-undang hampir sama ditolak Parlimen Kesatuan Eropah. Kesan positif dari perbahasan ini adalah sokongan diperoleh daripada pihak berkuasa tempatan mengenai sumbangan minyak sawit kepada kesihatan di dalam kegunaan barangan makanan, dan satu persetujuan bahawa kemapanan tidak harus dimasukkan ke dalam label makanan kerana ia adalah isu sosial dan bukannya isu keselamatan makanan ataupun nutrisi.

Sebaliknya, pelabelan sukarela boleh diguna untuk menggalakkan ciri tertentu di dalam satu-satu produk.
Jika kemusnahan hutan adalah isu membimbangkan NGO yang pro alam sekitar, saya mengingatkan pada hadirin yang hadir di perbahasan kedua ini bahawa Australia yang mempunyai bilangan penduduk lebih kecil berbanding Malaysia memusnahkan hutannya 5 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia (lebih setengah juta hektar setiap tahun di antara tahun 2000 dan 2010).

Saya juga memberitahu mereka bahawa nisbah keluasan hutan berbanding keluasan tanah di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding Australia iaitu 56 peratus untuk Malaysia dan 19 peratus untuk Australia manakala nisbah keluasan tanah pertanian berbanding kawasan hutan di Malaysia adalah 1:3 sedangkan di Australia ia adalah 3:1 walaupun Australia mempunyai bilangan penduduk yang jauh lebih kecil berbanding Malaysia.

Jika WWF dan lain-lain NGO pro alam sekitar berhasrat menghalang kemusnahan hutan, Australia adalah negara yang lebih sesuai untuk diberi perhatian.

Ketika ini terdapat banyak haiwan di Australia yang sudah pupus atau terancam dan banyak lagi produk pertanian Australia boleh jadikan sasaran untuk pelabelan mandatori untuk memenuhi konsep ‘hak pengguna untuk mengetahui’.

Artikel ini disunting dan diterjemahkan dari artikel asal bertajuk, A Scam Behind The Australian Palm Oil Labeling Bill?. Sila layari www.ceopalmoil.com untuk mendapatkan salinan asal artikel in

No comments:

Post a Comment